TAHUN 6

  Jom Tulis Karangan UPSR 

Kepentingan Memelihara Alam Sekitar

       
         Alam sekitar adalah alam di sekeliling kita seperti sungai, tumbuh-tumbuhan dan bukit-bukau. Kita perlu memelihara keseimbangan alam sekitar. Alam sekitar yang bersih akan menjadikan kehidupan kita lebih baik.

     Alam sekitar adalah anugerah Tuhan kepada kita. Alam sekitar yang terpelihara akan dapat mendamaikan jiwa kita. Persekitaran bersih dan indah sesuai dijadikan tempat tinggal. Selain itu, alam sekitar yang tidak  tercemar akan dapat menarik kedatangan ramai pelancong.

     Tumbuh-tumbuhan perlu dipelihara kerana ia menjadi unsur penting dalam keseimbangan alam. Tumbuh-tumbuhan mengeluarkan gas oksigen. Gas oksigen ini diperlukan oleh manusia untuk pernafasan. Haiwan juga memerlukan tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan sumber makanan.

     Selain itu, bukit-bukau dan gunung-ganang juga perlu dipelihara. Hutan tebal yang menghijau dijadikan sebagai kawasan tadahan hujan .Kawasan hutan menjadi habitat pelbagai jenis haiwan seperti harimau, singa dan gajah. Aktiviti pembalakan dan pertanian perlu dikawalkan agar tidak menjejaskan keseimbangan alam sekitar.

     Sungai dan lautan juga adalah sebahagian daripada alam sekitar yang perlu dipelihara. Sungai yang bersih merupakan sumber air kepada kita. Lautan yang terbentang luas menjadi tempat nelayan menangkap pelbagai jenis ikan. Kita perlu memelihara sungai dan lautan agar tidak tercemar supaya pelbagai jenis ikan dapat terus membiak.

     Sesungguhnya, kita perlu memelihara alam sekitar daripada pencemaran. Alam sekitar yang bersih akan menjadikan kehidupan kita lebih baik. Alam sekitar yang terpelihara merupakan hadiah yang tidak ternilai kepada generasi akan datang.


Peristiwa Yang Tidak Dapat Dilupakan

             Hari ini sekali lagi aku berdiri di hadapan kelas. Aku masih lagi gagal menghafal sifir tujuh dan sifir lapan seperti mana rakan-rakanku yang lain. Cikgu Rahman memandangku dengan dengan muka yang merah padam tanda marah.

          Tiba-tiba Cikgu Rahman menyuruh aku menadah tangan. Cikgu Rahman merotan tapak tanganku sebanyak dua kali. Merah mukaku menahan kesakitan. Bertambah sedih hatiku apabila ada beberapa orang kelasku bertepuk tangan. Mereka mengejek aku.

          Sebelum aku pulang ke tempat dudukku, sekali lagi aku diingatkan supaya menghafal kedua-dua sifir tersebut. Jika aku masih gagal menghafalnya, aku akan dirotan lagi. Pada hari itu, sebaik sahaja pulang dari sekolan aku terus masuk ke bilikku sambil menangis. Ibu yang melihat aku  
menangis terus mendekati dan bertanya mengapa aku menangis.

       Aku menceritakan kepada ibu tentang peristiwa yang berlaku di sekolah tadi. Aku menunjukkan kesan tapak tanganku yang masih berbekas merah akibat dirotan. Ibu tidak menyalahkan Cikgu Rahman sebaliknya menyuruh aku mengubah sikapku dan berusaha menghafal sifir tersebut. Pada petang itu, ibu membantu aku menghafal kedua-dua sifir tersebut.

          Aku menghafal dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya aku berjaya. Dua hari kemudian, sekali lagi aku dipanggil oleh Cikgu Rahman ke hadapan kelas untuk menghafal sifir tujuh dan lapan. Aku telah berjaya menghafal dengan lancar. Cikgu Rahman memuji dan menghadiahkan aku RM5.00.

          Hari itu adalah yang paling menggembirakan aku. Walaupun peristiwa itu telah lama berlaku, namun masih segar dalam ingatanku sehingga ke hari ini. Dengan menghafal sifir tersebut, pencapaian aku dalam mata pelajaran Matematik semakin baik dan sentiasa dipuji oleh Cikgu Rahman.


 Terpisah Dari Keluarga
   
     Semasa cuti sekolah yang lalu, aku dan keluarga pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Suasana di sana penuh sesak dengan orang ramai. Semasa di sana, aku begitu asyik melihat pelbagai pameran sehingga aku terpisah daripada keluargaku.

       Apabila menyedarinya, aku berasa sangat cemas dan cuba menenangkan perasaanku sendiri. Apatah lagi aku dikelilingi oleh orang ramai yang aku tidak kenali. Dalam kesesakan orang ramai itu, aku pergi dari sebuah gerai ke sebuah gerai untuk mencari mereka. Namun hampa.

         Aku tidak cepat berputus asa, lalu aku pergi ke kaunter pertanyaan. Aku menceritakan keadaan diriku kepada pengawai yang bertugas. Kemudian, pengawai itu membuat pengumuman. Hampir satu jam aku menunggu di situ, namun tiada seorang pun ahli keluargaku yang datang menjemputku.

         Tiba-tiba aku teringat akan telefon bimbit ayahku. Tetapi aku terlupa pula nombornya. Aku berasa sangat sedih dan tidak dapat menahan perasaanku. Aku menagis. Aku semakin bimbang akan diriku. Aku berfikir untuk pergi ke tempat letak kereta dan menunggu mereka di sana tetapi takut.

         Oleh sebab itu, aku mengambil keputusan untuk terus menuggu di kaunter pertanyaan itu. Tiba-tiba aku tepandang kelibat seseorang yang aku kenali. Aku menjerit kegembiraan apabila melihat ibuku. Aku terus memeluknya sambil menangis teresak-esak.

          Ayah mengingati aku agar tidak leka lagi. Aku berjanji akan mematuhi nasihat mereka. Aku berasa sangat bersyukur kerana dapat bertemu semula dengan keluargaku.

 Punca-punca Kemalangan Di Rumah

          Rumah merupakan tempat tinggal kita dan perlu dijaga dengan baik. Rumah yang kemas dan teratur menjadikan kita lebih selesa. Namun begitu, di rumah juga boleh berlaku kemalangan.

        Kemalangan yang sering berlaku di rumah adalah tersiram air atau minyak panas. Kedua-dua situasi ini menjadikan mangsa mengalami kecacatan dan trauma. Ibu bapa perlu memastikan peralatan memasak berada di tempat yang selamat. Kecuaian mereka menyebabkan anak-anak menjadi mangsa.

   
Pisau, gunting dan peralatan yang tajam juga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.  Oleh sebab itu, benda-benda itu perlulah disimpan di dalam laci atau di tempat yang selamat. Mancis pula boleh menyebabkan berlakunya kebakaran. Justeru, ibubapa perlu menasihati anak-anak agar tidak bermain mancis sesuka hati.

    
     Ubat-ubatan penting untuk menyembuhkan sesuatu jenis penyakit. Namun begitu, ubat yang dimakan tanpa pengawasan ibubapa boleh mendatangkan bahaya. Apatah lagi, jika dimakan dalam kandungan yang melebihi sukatan yang dibenarkan. Oleh sebab itu, ibubapa perlu memastikan ubat-ubatan disimpan dalam tempat khas seperti di dalam peti ubat.

       Barang permainan juga adalah salah satu punca berlakunya kemalangan di rumah. Pastikan barang permainan yang dibelikan untuk anak bersesuaian dengan umur mereka. Barang permainan yang dibiarkan bersepah-sepah boleh menyebabkan anak-anak tercedera apabila terpijak. Latihlah anak-anak menyimpan barang permainan selepas digunakan.

No comments:

Post a Comment